Saturday, 29 October 2016

- KOMUNIKASI BERKESAN UNTUK FASILITATOR

KOMUNIKASI BERKESAN UNTUK FASILITATOR

Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad, Ph.D.
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

e-mail: abmuati@putra.upm.edu.my



Pengenalan
Manusia adalah makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu wataala dengan spesifikasi
sosial. Ertinya manusia tidak dapat hidup bersendirian, tanpa manusia lain atau
 masyarakat. Justeru manusia yang hidup dalam masyarakat pula perlu dipimpin atau
diketuai oleh manusia lain dalam menjalankan urusan penghidupan hariannya.
Allah Subhanahu wataala telah menetapkan missi hidup manusia di 
tengah-tengah masyarakat itu untuk mengabdikan diri kepadaNya. 
Pengabdian ini dimanifestasikan dengan suruhan beribadah kepadaNya. 
Ibadah yang diperintah Allah Subhanahu wataala kepada umat manusia perlu 
difahami dalam konteks yang luas, mencakupi ibadah yang am dan yang khusus. 
Maka dalam masyarakat umat manusia itu diperintah pula 
oleh Allah Subhanahu wataala untuk berdakwah atau menyeru ke jalanNya. 
Dakwah Islamiah adalah kewajipan yang ditanggung setiap manusia Islam 
terutamanya yang memegang amanah kepemimpinan. Paksi seruan dakwah ini 
ialah “amar makruf nahil mungkar”. Inilah sebenarnya komunikasi Islam. Kertas kerja ini 
memuatkan kupasan ringkas mengenai cara mana kita sebagai umat Islam dapat 
menggapai kegemilangan melalui komunikasi antara sesama insan.


Konsep komunikasi
Komunikasi secara umumnya merujuk kepada usaha perkongsian maklumat antara
satu pihak yang disebut sumber dengan pihak yang lagi satu yang disebut penerima
atau sasaran. Maka yang menjadi asas dalam interaksi sesama manusia ini ialah
perkongsian makna. Justeru seseorang manusia yang menjadi sumber itu hendaklah
berusaha menjadikan mesejnya mudah difahami agar maksud mesej dapat
sama-sama ditafsirkan oleh penerima. Sekiranya penerima gagal mentafsir mesej yang
diterimanya dari sumber, maka komunikasi tidak berlaku. Malah apa yang berlaku ialah
kerosakan berkomunikasi.


Kepemimpinan Insan dalam IslamInsan sebagai khalifah di atas muka bumi sebenarnya telah dijanjikan akan
kegemilangannya. Malah Allah s.w.t. juga telah menjanjikan bahawa insan ini adalah
sebaik-baik makhluk yang dijadikanNya. Walau bagaimanapun, lantaran tergelincir dari
landasan iman dan tuntunan agama insan kehilangan kegemilangan. Keciciran insan ini
antara lain dapat dilihat dari ketidakupayaan mereka berkomunikasi dengan berkesan
sehingga menimbulkan pelabagai macam kerosakan dan masalah dalam
menguruskan kehidupan harian terutamanya yang berkaitan kepeimpinan umat.
Hakikatnya komunikasi dalam Islam berpaksikan kepada
dua iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Kepemimpinan dari
kaca mata Barat lebih kepada kebolehan individu pemimpin mempengaruhi pengikut
mencapai objektif yang dihasratkannya tetapi dari kaca mata islam kepemimpinan
lebih kepada amanah dan tanggungjawab mensejahterakan pengikut (ra’in). Menyeru
kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah cara merealisasikan
kesejahteraan umat. Kelalaian dan kegagalan insan menjalankan kedua-dua tuntutan
berkomunikasi ini mengakibatkan kualiti kegemilangan insan itu pudar malah ada
ketikanya tenggelam langsung. Contoh teladan baginda Rasulullah s.a.w.
menyeimbang dan melaksanakan kedua-duanya menyebabkan umat Arab Quraisy pada
zaman lampau muncul dari segala kejahilan menjadi insan yang paling gemilang
dalam sejarah peradaban umat manusia. Kesinambungan kegemilangan Islam dapat
dilihat dalam zaman pemerintahan atau kepemimpinan khalifah-khalifah selepas baginda
sehingga Islam memerintah sebahagian besar muka bumi dan membentuk tamadun yang dikagumi di Timur dan Barat. Namun kegemilangan tamadun Islam semakin pudar dan musnah apabila pemimpin-pemimpin
empayar Islam semakin renggang dari perintah Allah Subhanahu wataala dan
membelakangkan sunah Rasul. Sejarah banyak mencatatkan hakikat ini sebagai
pengajaran khususnya apa yang berlaku di Andalusia dan Turki.


Kegemilangan Insan dan KomunikasiTelah kita maklumi bahawa telah menjadi sunatullah di dalam hidup ini manusia
perlu berhubung dengan Tuhan yang menciptakannya, sesama manusia lain di
sekelilingnya dan juga dengan alam sekitaran penghidupannya. Sebagai ad-din atau
peradaban hidup yang sempurna, Islam tentunya mempunyai garis panduan yang boleh
dijadikan landasan dalam berkomunikasi.

Sepertimana yang disebutkan tadi, komunikasi dalam Islam dilaksanakan dengan tujuan
untuk menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain komunikasi
Islam berpaksikan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan atau
kemungkaran (amar ma’ruf nahil mungkar). Justeru dari nas-nas Al-Quran dan Hadits
Rasul, garispanduan berikut boleh dijadikan panduan dalam berkomunikasi demi 
menyerlahkan kegemilangan insan seperti mana yang dijanjikan.

1. Rancang idea sebelum berkomunikasi.
Komunikasi yang berkesan samalah seperti aktiviti lain yang dijalankan oleh manusia.
Ia memerlukan perancangan yang rapi. Kaedah komunikasi yang terancang
dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

Firman Allah Ta'ala dalam Surah An‑Nahl (125) bermaksud ..."Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran
yang baik....."

Hikmah di sini merujuk kepada perancangan yang bijaksana yang memerlukan usaha
pemerhatian, pengamatan, penelitian dan perencanaan yang sistematik agar dapat
mencerakinkan situasi dan seterusnya membentuk strategi yang tepat.

2. Analisis penerima atau sasaran.
Penerima atau sasaran hendaklah dianalisis agar dapat disesuaikan mesej dengan
mereka. Antara perkara‑perkara yang perlu diketahui ialah seperti tahap pengetahuan,
tahap pendidikan, sikap, sensitiviti serta mentaliti mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud “berbicaralah kepada
manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing”.

3. Isi bicara hendaklah benar.
Kebenaran isi bicara amat mustahak apabila kita berko­munikasi, apatah lagi jika
berkomunikasi dengan hasrat untuk mengubah golongan sasaran. Keyakinan dan
keintiman pendengar terhadap kita akan hancur sekiranya terselit kesangsian tentang
kebenaran mesej yang kita bawa.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 70 bermaksud “Hai orang-orang yang
beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “iman seseorang itu tidak lurus kecuali
hatinya lurus dan hatinya tidak lurus kecuali lidahnya lurus”.

Kedua-dua dalil ini dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa bercakap benar adalah
suatu perintah yang utama.

4. Gaya bahasa hendaklah bersesuaian dan baik.
Kata orang bahasa melambangkan bangsa. Sebenarnya Allah menciptakan bahasa
dengan penuh keindahan. Hanya manusia yang mencemari keindahan bahasa itu dengan
menggunakan perkataan yang kotor lagi keji apabila tidak dapat mengawal lidah dengan
fikiran yang waras.

Berkaitan dengan persoalan ini Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran bermaksud:
“dan katakanlah kepada hamba-hamba Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan
yang baik……..” (Al-Isra:53)

“…dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (Al-Baqarah:83)

“…dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik.” (An-Nisaa:8)

Sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud “Siapa yang beriman kepada Allah dan
Hari Kiamat hendaklah beliau mengatakan yang baik atau diam sahaja”.

Islam juga amat menitikberatkan penggunaan perkataan atau bahasa yang baik ketika
berkomunikasi, khususnya dalam keluarga. Individu yang datang dari keluarga yang
sopan biasanya menggunakan bahasa yang baik, manakala anak‑anak yang dibesarkan
dalam masyarakat atau keluarga yang pincang lazimnya gemar menggunakan perkataan
keji dan kotor seperti memaki hamun, mengeluarkan kata-kata lucah dan sebagainya.

5. Nada percakapan hendaklah terkawal dan sesuai.
Ini adalah kerana kelembutan bicara dan kelunakan suara amat berkesan dalam
usaha‑usaha memujuk untuk mengubah manusia. Suara yang lunak menikam kalbu
dan mampu memadam pertentangan.

Firman Allah Taala bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas
dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata yang
lemah-lembut semoga ia beringat atau takut”. (Ta-Ha:43-44)

“….dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara
himar (keldai)”. (Luqman:19)

Kadang-kadang bila kemarahan menguasai pemikiran, orang mencari jalan keluar
dengan meninggikan suara. Lazimnya orang yang ditengking akan menengking balas.
 Ini akan memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang. Akhirnya keharmonian hilang.
Tetapi kemarahan yang menyinga mampu dipadam dengan kelembutan suara. Malah
orang lebih mudah disedarkan dari kesilapan dengan suara yang lunak.

6. Susunan maklumat perlu jelas dan berstruktur.
Mesej yang tersusun dengan jelas mampu memahamkan pendengar dengan mudah
dan tidak mengelirukan.

Firman Allah Taala bermaksud: “Dan diwajibkan kepada Rasul hanyalah menyampaikan
dengan terang dan nyata.” (An-Nur:54)

Dhirran bin Dhamrah Alkinany pernah memberitahu Muawiyah tentang keperibadian
Saidina Ali r.a. . Katanya “ Ketahuilah bahawa Ali r.a. itu ialah orang yang
berpandangan jauh, orang yang kuat, bila berkata perkataannya jelas (tepat) dan bila
 beliau berlaku adil, ………”

Sebaliknya mesej yang tidak tersusun akan menjadikan penerima keliru dan salah faham.

7. Bahasa badan perlu menyokong lisan.
Penghayatan dan semangat perlu dalam masa berkomunikasi bagi melambangkan
keseriusan tujuan. Penghayatan ini terpancar melalui bahasa badan yang kerapkali
digunakan untuk menguatkan makna lisan.

Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan: “Apabila Rasulullah s.a.w. berkhutbah,
kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit, bagai
seorang panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang
ingin memerangi umat Islam di ketika pagi atau petangnya”.

Hadrat Amrah r.a. pernah bertanya kepada A’ishah r.a. “Apakah yang
Rasulullah s.a.w. lakukan apabila berada bersendirian bersama isteri-isteri baginda?
A’ishah r.a. memberitahu bahawa seperti juga lelaki lain Rasulullah s.a.w. juga lelaki
tetapi baginda adalah orang yang sangat pengasih serta bersifat penyayang dan beliau
sentiasa mengukirkan senyuman.”

Senyuman adalah bahasa badan yang memanifestasikan kejernihan hati dan jiwa.
Kata-kata yang baik tentunya kosong dan tidak bermakna tanpa senyuman dan
kejernihan air muka.


8. Berhujah dengan waras.
Ada kalanya sebagai manusia kita tidak boleh lari dari keperluan berhujah.
Maka hujah yang paling baik dan berkualiti ialah hujah yang waras atau rasional,
bukan yang penuh emosi.

Allah Taala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud: “…dan
berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik….”

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “tinggalkan perbantahan kerana
perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak mengamankan
daripada fitnah.” (Riwayat At-Tabrani).

Kita berhujah bukan untuk mencari kemenangan tetapi adalah dengan tujuan
untuk menyerlahkan kebenaran. Maka sandarkanlah hujah-hujah kita kepada
alasan-alasan dan dalil-dalil yang benar lagi menasabah. Dan bersedialah
mengaku kesilapan dengan hati terbuka andai terbukti hujah kita tersilap.


9. Ambilkira pendapat orang lain.
Jika perlu dan bersesuaian, sentiasalah bertanya pendapat orang lain yang mungkin
lebih berkepakaran dan berpengalaman dalam sesuatu aspek semasa merancang
komunikasi.

Dalam hal ini Allah Taala berfirman bermaksud:
“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan
soal-soal keduniaan) itu….” (Ali-Imran:159)

“…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka…” (Shura:36).

Kerapkali keputusan yang dibuat secara kolektif sama ada dalam keluarga atau pun
dalam organisasi jauh lebih tepat dan berkat berbanding keputusan yang dibuat sendirian.

10. Perbuat apa yang dicakapkan.
Cara menasihat atau mengajar yang terbaik ialah dengan cara memberikan contoh
teladan. Perilaku pembicara sendiri harus melambangkan satu idola yang boleh 
dijadikan model oleh para pendengarnya.

Firman Allah Taala bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak
kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa
yang tidak kamu kerjakan.” (As-Saff: 2-3).

Penerima lazimnya lebih terpengaruh dengan apa yang mereka lihat berbanding apa
yang mereka dengar. Sumber yang berwibawa ialah yang mengatakan sesuatu dengan
perbuatan, bukan hanya dengan lisan.

11. Meninggalkan celaan dan mengumpat.
Mengumpat dan mengutuk orang lain akan hanya menjatuh­kan kredibiliti sendiri.
Komunikasi yang dimuatkan dengan umpat keji tidak mendatangkan faedah kepada
sesiapa. Dalam konteks ini kita lihat firman Allah Taala bermaksud:
“Celakalah (azablah) untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela”. (Al-Humazah:1)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud:
“Orang Mukmin itu bukanlah jenis orang yang suka mengutuk.” (Riwayat At-Tarmizi).

“Janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam dan janganlah meneliti cela-cela
 mereka.” (Riwayat Abu Daud).

‘Tidak masuk syurga orang yang suka membawa fitnah.” (Riwayat Al-Bukhari).

Maka rebutlah peluang berkomunikasi itu dengan menitikberatkan keistimewaan
dan kekuatan orang lain, bukan mencari dan membesarkan kesalahan, kelemahan
dan keaiban mereka.

12. Menjauhi tanggapan buruk terhadap orang lain.
Sikap suka menilai orang dari pandangan pertama yang berbentuk kulitan harus
dijauhi oleh semua orang. Sikap buruk begini akan hanya menimbulkan perasaan
negatif yang akan membawa kepada prasangka buruk atau prejudis yang tidak akan
menguntungkan sesiapa.
Firman Allah Taala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah
kebanyakan dari prasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka
buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan
janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain….” (Al-Hujurat: 12).

Prasangka buruk adalah punca kepada segala gejala yang negatif seperti
mengumpat, gossip, mencela, sabotaj dan sebagainya yang meruntuhkan
sesama umat. Maka padamkanlah prasangka buruk tatkala ia terdetik di dalam
hati dengan istighfar.

13. Mendengar dengan berkesan.
Komunikasi tidak hanya tertumpu kepada mulut yang berbicara tetapi juga kepada
sepasang telinga yang sentiasa tersedia untuk mendengar dan memahami
dengan rasional.

Firman Allah Taala bermaksud “Sesungguhnya yang memperkenankan
(seruan engkau) hanya orang-orang yang sebenarnya mendengar. Tetapi
orang yang mati (pelita hatinya) nanti Allah akan membangkitkan mereka
kemudian mereka dikembalikan kepadaNya”. (Al-Anaam:36)
“Jangan kamu seperti orang-orang yang berkata: kami telah mendengar, tetapi
mereka tiada mendengarkan. Sesungguhnya sejahat-jahat yang melata (di muka bumi)
di sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan bisu, mereka tiada memikir apa-apa pun”.
(Al-Anfaal: 21-22)
“Apabila dibacakan ayat-ayat kami kepadanya, ia berpaling menyombongkan diri,
seolah-olah telinganya pekak, sebab itu berilah dia khabar dengan siksa yang pedih”.
Luqman:7)
Mendengar bukan hanya tindakan pukulan gelombang bunyi ke atas gegendang
telinga semata-mata. Ianya adalah proses menterjemahkan tindakan fizikal bunyi
tadi kepada pemahaman yang membuahkan respons. Hanya orang yang benar-benar
mendengar sahaja boleh memahami. Jika tidak, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,
tidak membuahkan apa-apa hasil.


Penutup
Demikianlah sedikit kupasan mengenai komunikasi dan perkaitannya dengan amanah
kepemimpinan bagi mencapai kegemilangan diri seseorang insan dan masyarakat 
serta umat Islam sejagat. Semoga kupasan ringkas ini dapat dimanfaatkan. 
Wallahu a'am bissawab.

No comments:

Post a Comment